http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


Dikemaskinikan  pada 30 Jan 2001 12:49  

 

 

 

Pilihanraya Kecil

N.34 LUNAS

29 NOV 2000

 

 

 

Baca Laporan Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

 

Sila kirimkan pandangan serta komen anda kepada kami

 

 

 

 

 

Sandiwara pengguguran tujuh rayuan Suqiu
Fathi Aris Omar

11:12am, Sat: Sekali lagi sandiwara wujud, kali ini antara Suqiu-Pemuda Umno. Atau, kita boleh istilahkan sebagai “diplomasi” ketika merundingkan perbezaan.

Politik memang sarat dengan gelagat ini - perkataan-perkataan manis yang berjela-jela serta berulang-ulang tetapi isinya kekal sama.

Nampak jelas kumpulan tertentu pendesak Melayu bergembira, khususnya seperti terpancar melalui media arus perdana, tetapi mereka sebenarnya menipu diri sendiri - dan ia merupakan penipuan entah kali ke berapa selepas beberapa siri sandiwara antara kerajaan-Umno-GPMS dengan rayuan Suqiu.

Sandiwara licik ini dijangkakan akan berjaya menipu orang ramai, termasuk penyokong pembangkang dan juga pemuja Umno. Media massa yang dikuasai parti kerajaan berjaya menebarkan langsir indahnya sehingga kabur realiti sebenar perkembangan terbaru “pengguguran tujuh” isi rayuan jawatankuasa yang dibentuk daripada gabungan persatuan utama Cina menjelang pilihanraya umum November 1999.

Cara paling mudah mencari kebenaran ialah membaca secara teliti, sepatah demi sepatah, kenyataan akhbar bersama antara Pemuda Umno dengan Suqiu semalam. Kedudukan isu ini akan lebih jelas jika kronologi persitiwa itu dan niat masing-masing (melalui kenyataan-kenyataan media Suqiu-Pemuda Umno) dikaji kembali.

Dipaparkan kepada umum wujudnya “jalan tengah” antara Pemuda Umno dengan Suqiu. Malah disebut juga Suqiu telah menggugurkan tujuh isi rayuan itu dan Pemuda Umno-lah sebagai wira Melayu yang berjaya menekan kumpulan Cina itu.

Hakikatnya, seperti juga beberapa perjanjian antarabangsa, kenyataan bersama itu sarat dengan pendirian tegas - dan barang kali juga muslihat - masing-masing.

Suqiu langsung tidak menggugurkan tujuh perkara “sensitif” kepada kumpulan pendesak Melayu itu. Badan gabungan itu hanya menggugurkan (istilah asal: mengetepikan) perkara tersebut dalam konteks perbincangannya dengan Pemuda Umno.

Ertinya, semua 17 isi utama rayuan (atau 83 isi pecahan) terus dikekalkan dan ia masih lagi dihadapkan kepada parti-parti politik seperti mana ia pertama kali dibentangkan beberapa bulan menjelang pilihan raya umum akhir 1999.

Pengguguran tujuh isi Suqiu memungkinkan gabungan itu meneruskan sebahagian besar agendanya dengan pendesak utama Melayu itu, Pemuda Umno. Tetapi Pemuda tidak juga bersedia menerima 76 lagi isi pecahan rayuan Suqiu.

Tiada harapan positif

Dalam kenyataan bersama semalam, mereka hanya menyebutkan untuk terus membincangkan isi-isi tersebut. Dalam teks asal, ia ditulis begini: Pemuda Umno dan jawatankuasa Suqiu “beriltizam untuk membincangkan 76 rayuan lain dan merealisasikan perkara-perkara yang diterima oleh kedua-dua pihak.” Inilah “persetujuan kedua” yang dicapai dalam siri perbincangan menjelang pengumuman pada 4 petang 5 Januari di sebuah dewan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Ertinya, 76 perkara lain masih “terbuka untuk perbincangan.” Ertinya, setakat ini mereka belum berbincang apa-apa lagi dan belum membuat sebarang keputusan dalam hal itu! Lebih menarik, cuba lihat klausa (clause) yang saya petik di atas: “beriltizam untuk membincangkan 76 rayuan lain” dan “...merealisasikan perkara-perkara yang diterima oleh kedua-dua pihak.”

Ertinya, jika 76 perkara itu tidak dipersetujui kedua-dua pihak dalam siri-siri perbincangan akan datang, rayuan itu masih kekal begitu seperti adanya sejak selama ini. Ia tidak memberikan apa-apa harapan positif kepada kaum Cina (khususnya Suqiu), golongan progresif yang mengharapkan reformasi politik, dan malah ia akan terus menjadi “igauan ngeri” kepada kumpulan-kumpulan pendesak Melayu (khususnya Pemuda Umno dan GPMS).

Dalam bahasa mudah, empat pertemuan Suqiu-Pemuda Umno selama 24 jam sebelum pengumuman itu semalam, mereka hanya berbincang untuk menulis kenyataan akhbar bersama setebal tiga halaman! Itulah sahaja perkembangan terbaru.

Perkembangan-perkembangan lain tidak ada. Oleh itu, apabila media arus perdana menyiarkan kenyataan-kenyataan manis pemimpin kerajaan malam tadi dan hari ini mengalu-alukan pengguguran itu, mereka berjaya melakonkan sandiwara terbaik alaf baru - ya, satu lagi perkembangan. Wujudnya tanggapan di kalangan orang jahil bahawa Suqiu menggugurkan tujuh tuntutan itu - ya, satu lagi perkembangan.

Perkembangan sebenar yang seharusnya dikatakan berlaku dan boleh dicanangkan oleh Pemuda Umno ialah apabila Suqiu menarik balik tujuh perkara tersebut daripada dokumen asalnya, seperti yang tertera pada laman webnya.

Dalam kenyataan bersama semalam, Pemuda Umno-Suqiu tidak menyebut persetujuan untuk menarik balik atau menggugurkannya daripada dokumen tersebut. Ia hanya menyebut perkataan “mengetepikan.” Klausa asal “persetujuan pertama” itu berbunyi begini: Pemuda Umno dan jawatankuasa Suqiu “bersetuju bahawa tujuh perkara tersebut diketepikan (Nota penulis: Ingat!) memandangkan ketegangan etnik yang wujud...”

Perkataan-perkataan seterusnya daripada frasa ini ialah pengiktirafan Suqiu terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi frasa ini bukan perkara baru, Suqiu pernah membuat kenyataan yang sama sebelum ini, sebelum pertemuan dengan Pemuda Umno.

Gambaran lebih jelas

Malah, ketika perbincangan wujud antara pakatan pembangkang Barisan Alternatif dengan Suqiu maksud yang sama dikekalkan. Manifesto BA jelas menjunjung Perlembagaan walau bersetuju dengan 17 Rayuan Suqiu. Ini memang gelagat politik - sarat dengan “diplomasi” untuk terus bersandiwara dengan kenyataan yang umum dan terbuka (open-ended) bagi mengaburi rakyat yang bebal.

Perkataan "diketepikan" itu sebenarnya menjadi medan baru untuk diperdebatkan kita semua. Apa maksud sebenarnya? Jika ia dikatakan “jalan tengah” dalam perundingan Suqiu-Pemuda Umno, memang perkataan ini menguntungkan kedua-dua pihak.

Dengan perkataan itu, Pemuda boleh berasa wujud semacam “progress” dalam desakannya tetapi Suqiu juga boleh berasa bahawa ia masih lagi tidak berganjak ke belakang. Hakikatnya, mereka tidak bergerak ke mana-mana!

Apabila dua klausa persetujuan ini dibaca secara tersusun, pastilah kita nampak gambaran lebih jelas: Suqiu hanya mengetepikan desakannya terhadap tujuh perkara itu buat sementara waktu bagi membolehkan 76 lagi isi rayuan dibincangkan dengan Pemuda Umno. Tetapi ditegaskan di atas, implikasi perbincangan tersebut masih bersifat terbuka, Pemuda boleh menolak dan boleh menerimanya.

[Nota: Lebih membimbangkan, apakah Pemuda Umno masih lagi mahu berbincang dengan Suqiu selepas ini sebab tujuan utama perbincangan itu ialah agar gabungan Cina itu tidak menyinggung hak istimewa Melayu? Dengan mengetepikan tujuh perkara tersebut, hasrat itu telah tercapai, bukan?]

Tetapi hakikat sebilangan rayuan ini “boleh diterima dan boleh ditolak” oleh parti-parti politik memang diakui sendiri oleh Suqiu. Dalam kenyataan bersama Pemuda Umno semalam, Suqiu masih tegas mempertahankan 83 pecahan isi rayuannya.

Mari kita kutip sepenuhnya pendirian Suqiu dalam kenyataan itu pada isi 3.1: Jawatankuasa Suqiu “mengulangi bahawa 83 perkara rayuan hendaklah dipandang daripada perspektif yang betul iaitu rayuan tersebut adalah tanpa sebarang tempoh pelaksanaan, dan telah dikemukakan kepada setiap parti politik di negara ini ketika pilihan raya umum 1999. Setiap parti adalah bebas membuat keputusan sama ada menerima atau menolak semua atau sebahagian daripada rayuan terbabit.”

Apabila seorang pelakon wayang Cina menjadi dalang sebuah persembahan wayang kulit, wahai rakyat lihatlah betapa indahnya dan liciknya “persetujuan” Suqiu-Pemuda Umno yang kononnya dialu-alukan sebagai progress isu ini walau pada batinnya, ia selayaknya non-event kepada mereka yang bijaksana!


FATHI ARIS OMAR merupakan Editor Berita malaysiakini.

 

 
Cadangkan laman ini kepada rakan

 

 

 

 


SEKRETARIAT PEMUDA keADILan MALAYSIA 
101&201, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II 

No 15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, 

46350 Petaling Jaya, Selangor

Tel : 03 7540469  Fax : 03 7540419 Talian Rasmi Sekretariat : 012 3750000

Urusan Sekretariat Pemuda : pemudakeadilan@freeanwar.com

Urusan webmaster  : webpemuda@freeanwar.com

 

Copyright © 2000 The Reformiz Inc.