http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


 

Ma.S.A.M Mengutuk Keras Tindakan BN dan Polis

Masyarakat Malaysia terutamanya kaum pelajar di luar negara mengikuti dengan dekat perkembangan yang berlaku rentetan peristiwa Perarakan 100,000 Mengembalikan Hak Rakyat semalam. Mewakili siswa reformis di seluruh dunia, Ma.S.A.M ingin melahirkan rasa kecewa dan marah kami terhadap kekasaran dan jeleknya layanan polis dan anggota keselamatan terhadap rakyat Malaysia yang tidak menyokong parti pemerintah.

Perhimpunan aman di atas tanah persendirian itu adalah sah dari segi Perlembagaan Malaysia, Undang-Undang dan Etika Kemanusiaan Antarabangsa; lebih-lebih lagi seiringan dengan tuntutan pegangan agama di seluruh dunia; yakni menegakkan kebenaran dan menghentikan kemungkaran. Ma.S.A.M yang dianggotai oleh siswa-siswa pelbagai pegangan agama - Islam, Kristian, Buddha dan Hindu - mengutuk keras tindakan polis ini yang bukan sahaja melampaui batas undang-undang; tetapi melanggar tuntutan agama yang menuntut rakyat yang lemah dilayani dengan baik - apatah lagi oleh anggora keselamatan yang sepatutnya menjaga keharmonian dan keselamatan negara dan rakyat.

Tindakan polis menembak gas pemedih mata ke arah pimpinan BA yang berucap - terutamanya Ibunda Datin Seri Wan Azizah yang berkerusi roda merupakan tindakan agresif yang tidak boleh dikompromi. Kita percaya terdapat pelbagai cara bagi pihak polis mengawal keamanan dan mengelakkan huru-hara - tetapi tindakan sedemikian rupa adalah tindakan provokatif yang akan mengkucar-kacirkan keadaan. Ma.S.A.M mempersoalkan etika kepolisian dan profesionalisme mereka di dalam menjalankan tugas. Lebih jauh dari itu, Ma.S.A.M mempersoalkan nilai kemanusiaan mereka serta hati budi insaniah yang sepatutnya dididik dengan nilai-nilai Islam memandangkan majoriti anggota keselamatan beragama Islam.

Pihak berkuasa polis patut sedar bahawa kredibiliti mereka sudah lama terhakis sepertimana badan kehakiman di Malaysia. Rentetan peristiwa hitam Rahim Noor memukul dengan niat Saudara Anwar, imej polis tidak akan dapat dibaiki semula; lebih-lebih lagi berikutan keganasan provokatif polis dalam menangani perhimpunan awam pembangkang. Perlu diingatkan dan diberi amaran kepada pihak polis bahawa rakyat Malaysia mempunyai had kesabaran seperti manusia lain - janganlah had kesabaran ini ditolak ke noktah akhir. Kita tidak mahu anggota keselamatan negara dicap sebagai musuh rakyat sepertimana di Serbia dan Romania suatu ketika dahulu. Apabila kesabaran rakyat sudah hilang, pihak polis akan menerima padah kemarahan dan kebangkitan rakyat.

Atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia, Ma.S.A.M mendesak perkara-perkara berikut:

Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan di atas hilangnya keyakinan sebahagian besar rakyat Malaysia akan kesaksamaan layanan di tangan anggota keselamatan

Kurikulum latihan polis dikaji dengan terperinci bagi mengelakkan pasukan polis yang dilahirkan didoktrinasi dengan agenda yang memihak kepada BN sehingga mengikis timbang rasa kemanusiaan mereka - serta mengubah pandangan polis bahawa jawatan sebagai anggota keselamatan merupakan satu kuasa yang boleh digunakan sewenang-wenangnya; bukannya tanggungjawab besar yang memerlukan budi bicara dan pekerti

PDRM meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kekasaran mereka selama ini sebelum anggota polis dipandang hina sebagai anjing pemerintah yang kejam

Semua rakyat Malaysia yang ditahan di dalam Perarakan 100,000 Mengembalikan Hak Rakyat dibebaskan tanpa syarat dengan segera

Sebagai tindakbalas terhadap kekasaran dan kebiadapan polis, Ma.S.A.M sudah mula menghantar faks memorandum bantahan ke kedutaan-kedutaan asing dan NGOs di Washington dan London bagi memaklumkan perkembangan terbaru di Malaysia. Harapan kami agar pihak-pihak lain - pertubuhan pelajar, gerakan reformasi, NGOs dan parti politik turut sama berbuat demikian dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tekanan terhadap kerajaan BN.

Kuasa rakyat akan menang jua suatu hari nanti, Insya-Allah.

Ahmad Kamal Mustapha,
Pengerusi Ma.S.A.M

 

SEKRETARIAT PEMUDA keADILan MALAYSIA 
101&201, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II 

No 15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, 

46350 Petaling Jaya, Selangor

Tel : 03 7540469  Fax : 03 7540419 Talian Rasmi Sekretariat : 012 3750000

Urusan Sekretariat Pemuda : pemudakeadilan@freeanwar.com

Urusan webmaster  : webpemuda@freeanwar.com

 

Copyright 2000 The Reformiz Inc.