http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


 KENYATAAN MEDIA : SELANGOR NEGERI POLIS

PARTI KEADILAN NASIONAL
National Justice Party
Pergerakan Pemuda

Pemuda keADILan Nasional ingin menyatakan rasa kesal terhadap tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang menghalang Parti keADILan Nasional Bahagian Shah Alam dan Bahagian Kuala Langat daripada menjalankan program ceramah umum pada malam 19 November 2000. Kehadiran ribuan pasukan polis yang menghalau rakyat daripada menghadiri program tersebut menunjukkan sikap tidak profesional polis. Ini menunjukkan dengan jelas bagaimana polis Diraja Malaysia khususnya di negeri Selangor diperalatkan oleh pihak pemerintah politik untuk menghalang sebuah parti politik yang sah menjalankan program di kawasan persendirian milik ahli parti.

Pihak penganjur program telah mengutuskan surat kepada pihak polis memaklumkan program tersebut sesuai dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan program dijalankan tanpa memerlukan permit sekiranya meliputi kawasan persendirian. Ini dipertegaskan secara jelas oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di dalam pertemuan dengan Pemuda Barisan Alternatif di Suruhanjaya tersebut pada 9 November 2000 yang lalu yang memperakui bahawa permit tidak diperlukan untuk program di kawasan persendirian. Pemuda keADILan akan membawa perkara ini kepada SUHAKAM untuk membuktikan bagaimana polis diperalatkan oleh pemerintah politik dan bagaimana tindakan polis bukan berasaskan kepada persoalan keselamatan tetapi berasaskan kepada pemikiran politik pemerintah yang dalam ketakutan.

Kenyataan Menteri Besar Selangor hari ini di akhbar Utusan Malaysia mengatakan bahawa parti politik pembangkang tidak perlu mengadakan program di Shah Alam sebaliknya harus menumpukan kempen di Lunas, Kedah merupakan satu kenyataan yang jelas memperlihatkan ketidakmatangan beliau dalam persoalan politik dan pentadbiran. Melaksanakan program di mana sahaja yang difikirkan sesuai merupakan hak sebuah parti politik yang sah seperti Parti keADILan Nasional dan kenyataan Menteri Besar tersebut jelas menunjukkan ada hubungan langsung antara tindakan polis malam tadi dengan keputusan dan sikap seorang pemimpin politik seperti Khir Toyo ini. Ini membuktikan bagaimana polis jelas diperalatkan untuk menjadi perisai bagi melindungi pemimpin politik yang lemah dan tidak mempunyai kekuatan moral untuk berdepan dengan rakyat. Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor dan Polis Diraja Malaysia negeri Selangor dengan jelas menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri polis dan membunuh semangat sistem demokrasi negara.

Pemuda keADILan akan terus melaksanakan program sesuai dengan hak kami sebagai sebuah parti politik yang sah dan tidak akan sekali-kali tunduk kepada pihak Polis yang diperalatkan oleh pemimpin politik yang tidak bermoral ini. Kami akan terus mengadakan program di tempat yang sama dan akan menyampaikan bukti-bukti lengkap pencabulan prinsip asas sistem demokrasi berparlimen ini kepada SUHAKAM untuk tindakan SUHAKAM selanjutnya.

Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda
Parti keADILan Nasional
20 November 2000