http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


 

KENYATAAN MEDIA

 

Sejak beberapa hari yang lalu, media perdana telah melancarkan serangan dan propaganda terhadap saya dengan membuat tuduhan kononnya saya menghina Malaysia. Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah rakyat Malaysia yang setia dan kecintaan saya terhadap negara tidak sekali-kali dipersoalkan. Apa yang saya lakukan diluar negara adalah sama dengan apa yang saya ucapkan di dalam negeri iaitu mengkritik dengan keras dasar-dasar dan perilaku Mahathir Mohamad dan Barisan Nasional.

 

Mengkritik pemimpin negara dan parti yang memerintah serta dasar-dasarnya tidak boleh disamakan dengan menghina negara. Di sini saya ingin menarik perhatian bahawa Mahathir Mohamad selepas beliau disingkirkan daripada Majlis Tertinggi UMNO dalam tahun 1969, pernah ke Australia dan London mengkritik serta memberi kecaman terhadap Perdana Menteri ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman. Jika apa yang saya lakukan selama ini dianggap menghina negara sebenarnya Mahathir Mohamad telah mendahului saya selama lebih 30 tahun dalam menghina negara. Sekiranya ada pihak yang menganjurkan agar kerakyatan saya dilucutkan maka kerakyatan Mahathir Mohamad perlu dilucutkan terlebih dahulu.

 

Apa yang saya lakukan adalah dituntut oleh negara kerana Malaysia diasaskan daripada prinsip demokrasi kebebasan dan keadilan. Apa yang saya lakukan pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain dalam mendedahkan bagaimana dasar-dasar Mahathir Mohamad dan kerajaan Barisan Nasional mencabuli hak-hak asasi manusia, menghapuskan kebebasan kehakiman,  membiarkan rasuah berleluasa dan bagaimana pemimpin-pemimpin Barisan Nasional serta kroni-kroninya membolot kekayaan negara.

 

Sebahagian besar apa yang saya terangkan telah diketahui oleh masyarakat antarabangsa melalui laporan media justeru itu masyarakat antarabangsa termasuk masyarakat pelabur telah hilang keyakinan terhadap pimpinan dan kerajaan Barisan Nasional.

 

Saya menegaskan bahawa Malaysia perlu diselamatkan dari kerakusan Mahathir Mohamad dan kroni-kroninya dan sistem kehakiman harus dibebaskan dari cengkaman politik Mahathir Mohamad dan hak asasi rakyat perlu dikembalikan. Kegawatan ekonomi negara berterusan adalah kerana krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara dan juga terhadap ekonomi negara yang masih belum pulih. Keyakinan tersebut tidak akan pulih selagi Mahathir Mohamad memimpin negara dan Dam Zainuddin menjadi Menteri Kewangan kerana kedua-duanya menjalankan dasar ekonomi yang tidak telus dan membiarkan amalan rasuah berleluasa di peringkat tertinggi. Saya juga mengambil kesempatan ketika berada di luar negara untuk menjelaskan dasar-dasar politik dan ekonomi Barisan Alternatif khususnya Parti keADILan Nasional apabila kami diberikan keyakinan untuk menerajui negara. Kami berusaha meyakinkan para pelabur sekiranya kami diberi mandat oleh rakyat Malaysia kami akan mengembalikan hak-hak politik dan hak-hak rakyat sertamelaksanakan dasar ekonomi yang dapat mengimbangkanantara pertumbuhan ekonomi dengan keadilan sosial dan dalam perbincangan-perbincangan saya jelas menampakkan bahawa masyarakat antarabangsa bukan sekadar menyatakan simpati terhadap penganiayaan terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim tetapi keyakinan terhadap Barisan Alternati sebagai gabungan yang alternatif yang boleh menyelamatkan Malaysia.

 

Di sini saya juga ingin mengaskan bahwa Parti keADILan Nasional tidak perlu menggunakan sebarang syarikat lobi untuk  menyampai mesej politik. Saya tidak pernah bertemu dengan mana-mana wakil daripada syarikat lobi semasa saya berada diseberang laut baru-baru ini.

 

Mohamad Ezam Mohd Nor

Ketua Pemuda

Parti keADILan

28 Oktober 2000