Kenyataan Media Berhubung Kes Penahanan Aktivis Reformasi di
bawah ISA
Kami yang mewakili keluarga aktivis reformasi yang ditahan serta
Jawatankuasa Penyerahan Memorandum Rakyat kepada SUHAKAM dengan
tegasnya menyatakan bahawa :
- Segala tuduhan yang dibuat terhadap para aktivis reformasi
yang ditahan di bawah ISA dalam kenyataan akhbar polis bertarikh
11 April 2001 adalah nyata palsu, tidak berasas serta berniat
jahat.
- Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya ada suatu
perancangan untuk menggulingkan kerajaan secara militan, serta
menggunakan kekerasan melalui penggunaan beberapa senjata
letupan.Tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa terdapat
langkah-langkah seperti itu telah diambil.
- Setiap pertemuan yang dibuat adalah secara terbuka dan
apa-apa perancangan diumumkan melalui persidangan media serta
kenyataan akhbar. Ini jelas dengan wujudnya sebuah jawatankuasa
yang boleh dikenal pasti serta dapat dihubungi. Adalah tidak logik
sekiranya setiap perjumpaan "sulit" sepertimana yang
dituduh oleh polis diikuti dengan kenyataan serta pengumuman media
oleh jawatankuasa tersebut.
- Rancangan utama para aktivis pada 14 April 2001 adalah dalam
melaksanakan hak mereka yang termaktub dalam undang-undang negara
ini iaitu untuk menyerahkan memorandum rakyat menuntut
pengembalian hak asasi manusia kepada Suruhanjaya Hak Asasi
Malaysia (SUHAKAM). Ini adalah jelas dan pihak SUHAKAM sendiri
telah mengesahkan kesediaan mereka menerima delegasi yang akan
menyerahkan memorandum tersebut. Memorandum tersebut telah
mendapat sokongan serta pengindorsan daripada pelbagai kelompok
rakyat. Ini termasuk badan-badan bukan kerajaan, persatuan pelajar
serta parti-parti dalam Barisan Alternatif.
- Tuduhan tentang penggunaan guru-guru silat serta mendapatkan
pengaruh sebilangan pegawai serta anggota keselamatan tidak masuk
akal dan sekali lagi tidak berasas. Kami meminta pihak polis
memberi BUKTI yang kukuh terhadap tuduhan tersebut. Kami pasti
oleh kerana tiada sedikitpun kebenaran dalam tuduhan tersebutlah
maka polis menahan para aktivis di bawah ISA. Ini adalah kerana
penahanan di bawah ISA membenarkan polis menahan sesiapa tanpa
perlu bicara dan apa-apa bukti siasatan.
- Setiap perhimpunan rakyat yang diadakan selam ini oleh
pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti dan persatuan-persatuan
masyarakat adalah aman serta tidak pernah bersifat ganas. Apa-apa
kejadian yang tidak diingini hanya berlaku apabila pihak polis
mengambil tindakan kejam dan keras untuk menyekat perhimpunan
rakyat.
- Sehingga ke hari ini polis tidak dapat mengeluarkan apa-apa
bukti bahawa setiap perhimpunan dan demonstrasi yang pernah
diadakan melibatkan apa-apa jenis bahan letupan serta senjata.
Kami menyeru pihak polis untuk bertindak profesional dan adil
dalam melaksanakn tugas dan bukan sekadar mengikut arahan-arahan
ahli-ahli politik yang tertentu. Ini dapat dilihat kerana segala
tuduhan palsu yang dibuat oleh polis tersebut adalah sama dengan
tuduhan yang dibuat oleh para ahli politik kerajaan dalam mengecam
pembangkang serta aktivis reformasi. Dengan menggunakan Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960, peluang untuk menjawab segala
tuduhan tersebut tidak boleh dilakukan.
Sesungguhnya tindakn polis ini adalah semata-mata untuk
menyekathak rakyat untuk bersuara,berhimpun secara aman yang
terjamin dalam perlembagaan Malaysia.
Tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa para aktivis
yang ditahan telah melakukan apa-apa di luar perlembagaan. Malah
segala tindakan yang dilakukan adalah nyata mengikut yang
termaktub di dalam perlembagaan.
-dibacakan oleh Puan Aliza Jaffar, isteri Saari Sungib,
Pengerusi JK Memorandum Rakyat 14 April pada 12 April 2001 di
Chinese Assembly Hall.
|