http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


KENYATAAN MEDIA

13hb. November, 2000

 

PARTI KEADILAN NASIONAL ( keADILan ) MENYAHUT CABARAN PIMPINAN BARISAN NASIONAL ( YB BOLHASSAN DI ).

 

Parti Keadilan Nasional ( keADILan ) menyahut baik cabaran YB Bolhassan Hj Di untuk mengadakan perdebatan  mengenai isu-isu berkaitan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN pimpinan Dr. Mahathir Mohamad pada peringkat nasional mahupun DP Abdul Taib Mahmud peringkat negeri Sarawak, sepertimana kenyataan beliau yang tersiar di dalam akhbar Utusan Sarawak bertarikh 12 November 2000. Pada masa yang sama di dalam akhbar tersebut, beliau juga mendakwa bahawa pihak pembangkang ( BA ) telah berkempen untuk memburukkan kepimpinan kerajaan BN.

 

Oleh yang demikian, pihak Barisan Alternatif ( BA ) khususnya keADILan bersedia pada bila-bila masa  untuk bersama-sama pimpinan BN Negeri Sarawak membincangkan masalah ini melalui satu sesi perdebatan mengenai segala macam bentuk isu yang melibatkan kepentingan rakyat terutamanya isu tanah yang pernah menjadi isu hangat pada kempen pilihanraya parlimen yang lepas.

 

Sebagai sebuah parti politik yang mewakili aspirasi dan hasrat rakyat yang menuntut perubahan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya yang berteraskan keadilan untuk semua, maka pihak kami memohon agar YAB Ketua Menteri sendiri sebagai salah seorang peserta perdebatan sesuai dengan politik pembangunan yang dipelopori oleh beliau. Kami juga mengharapkan perdebatan ini kelak akan dijalankan dalam suasana harmoni dan kasih sayang tanpa sedikitpun menyimpan rasa dendam dan prasangka buruk demi kesejahteraan rakyat semua. Kami juga menuntut kalau boleh perdebatan ini disiarkan secara langsung sama ada melalui siaran Radio Sarawak, NTV 7 dan diadakan ditempat terbuka agar semua lapisan rakyat dapat menilai kebenaran yang sebenarnya. 

 

____________________________

Zulrusdi  Mohamad Hol,

Ketua Pemuda,

Parti Keadilan Nasional Negeri Sarawak.