http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


KENYATAAN AKHBAR 15 Dis 2000

PEMUDA KEADILAN MALAYSIA

 

 

15 Dis 2000

Pemuda KeADILan Malaysia amat kesal dengan kenyataan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri yang mendakwa pimpinan Barisan Alternatif ingin menganjurkan perubahan politik di Malaysia ala “Intifadah” di Palastin.

 

Perhimpunan-perhimpunan rakyat yang disertai oleh Parti KeADILan dan Pimpinan Barisan Alternatif yang lain adalah berlandaskan prinsip hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan perhimpunan aman seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

 

Pemuda KeADILan juga berpendirian, pandangan Dato’ Seri Abdullah ini juga amat tidak berasas kerana keganasan yang berlaku dalam perhimpunan-perhimpunan ini dimulakan dan dilakukan oleh pihak polis dan FRU.  Tindakan keganasan tidak pernah dilakukan oleh pejuang-pejuang reformasi dan pimpinan BA dalam setiap perhimpunan aman tersebut.

 

Kenyataan Dato’ Seri Abdullah juga amat mengaibkan pihak pemerintah sendiri kerana sedia menyamakan kedudukan kerajaan Malaysia dengan keganasan Regim Israel, Tel Aviv.  Ini jelas membayangkan hakikat sebenar siapa yang melakukan keganasan dan bertindak diluar batas kesusilaan demokrasi dan perikemanusiaan.

                                                                                                                          

Pemuda KeADILan menyeru semua pihak agar menghormati prinsip demokrasi semurninya serta hak asasi manusia bagi rakyat Malaysia.

 

MUSTAFFA KAMIL AYUB

Timbalan Ketua Pemuda KeADILan