http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


BN tabur fitnah kerana bimbang kalah

 

LUNAS, 22 Nov (hrkh) - Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor menyeru semua pihak supaya menolak fitnah pemimpin Umno/BN bahawa kononnya Barisan Alternatif telah berpecah.

 

"Ini hasutan mereka yang timbul dari kebimbangan akan calon BN akan kalah dalam pilihan raya kecil Lunas 29 November ini," katanya ketika ditemui di hari penamaan calon di sini semalam. Beliau berkata, "Lihatlah puluhan ribu penyokong BA dari pelbagai kaum telah datang ke sini dan ramai lagi akan datang untuk membantu kempen calon BA. Saya gembira pelbagai kaum telah sama-sama datang memberi sokongan."

 

Beliau yakin Barisan Alternatif akan tetap teguh walaupun mungkin menghadapi sedikit masalah.

Menurutnya, rakyat menaruh harapan tinggi kepada Barisan Alternatif untuk memperjuangkan keadilan, kesaksamaan, penghapusan rasuah, pilih kasih dan sebagainya.

 

Sementara itu, penyokong Barisan Alternatif dari kaum India dan Cina turut memberikan sokongan dalam masa perarakan penamaan calon. Seorang tokoh Parti KeADILan di utara, Aziz Ahmad berkata bahawa beliau yakin penyokong dari kaum India akan membantu kempen calon BA, Saifuddin Nasution. "Kawan-kawan saya dari kaum India dan Cina berjanji akan membantu Saifuddin Nasution kerana beliau adalah calon yang tepat," katanya.