http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


Dikemaskinikan  pada 16 Mar 2001 11:39  

 

 

 

Pilihanraya Kecil

N.34 LUNAS

29 NOV 2000

 

 

 

Baca Laporan Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

 

Sila kirimkan pandangan serta komen anda kepada kami

 

Laporan Program Ceramah Malam Jumaat 15 Mac 2001

Pada malam tadi satu program ceramah malam Jumaat yang merupakan siri program ceramah mingguan telah diadakan di kediaman Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Program itu telah dihadiri oleh sekitar 1000 orang penyokong. Antara pimpinan yang hadir adalah YB Abdul Rahman Yusuf, YB Saifuddin Nasution, Sdr. Ezam Mohd Nor dan Sdr. Tian Chua. 

Program dimulakan dengan solat Maghrib diikuti dengan bacaan Yaasin berjemaah. Selepas itu tazkirah agama disampaikan oleh Sdr. Yusri Muhammad yang juga selaku pengerusi majlis. Sebaik sahaja masuk waktu Isyak, hadirin telah menunaikan solat Isyak disusuli dengan solat hajat. Selesai solat Isyak, ceramah dimulakan dengan didahului oleh YB Abdul Rahman Yusuf dengan perkembangan terkini mengenai sidang Parlimen dan isu-isu semasa. Penceramah berikutnya adalah YB Saifuddin Nasution, yang telah menekankan tentang betapa pentingnya usaha menyampaikan maklumat yang benar tentang penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan dan kroni-kroni BN.

Sdr. Ezam merupakan penceramah yang terakhir dan beliau telah menceritakan tentang pengalaman beliau sewaktu ditahan reman oleh pihak polis selama 8 hari. Menurut beliau, pada malam beliau ditangkap yang juga merupakan malam hari raya Aidil Adha yang lalu, beliau baru sahaja tiba di rumah Datin Seri Wan Azizah untuk membincangkan suatu perkara yang mustahak. Rayuan beliau berkali-kali untuk dibenarkan berjumpa dengan Datin Seri Presiden tidak diendahkan oleh pihak polis. Pada malam itu beliau telah dibawa ke IPK Kuala Lumpur di mana beliau dilokapkan. 

Pada keesokan harinya, iaitu hari raya Aidil Adha, beliau daripada pagi lagi telah disoal-siasat oleh pihak polis berhubung isu 'menggulingkan kerajaan'. Sdr. Ezam menegaskan kepada pihak polis bahawa beliau telah bercadang untuk memfailkan saman bernilai jutaan ringgit terhadap akhbar Utusan Malaysia berkenaan isu tersebut dan sekiranya mereka terus menyebut tentang soal itu, mereka (polis) juga akan menerima nasib yang sama. Selepas itu, mereka beralih pula kepada isu demonstrasi di mana sekali lagi Sdr. Ezam telah dengan berani menekankan bahawa itu adalah merupakan hak bagi semua rakyat dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Sesi soal-siasat berlanjutan selama dua hari sehingga mana pihak polis kehabisan isu untuk dibangkitkan.

Pada hari keempat iaitu hari tahanan reman pertama Sdr. Ezam tamat, beliau telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di mana beliau telah direman lagi selama empat hari. Beliau memberitahu bagaimana pihak polis dan pendakwa telah bertelagah sesama sendiri kerana menahan beliau walaupun bukti untuk membuat pendakwaan belum ada. Beliau kemudiannya mendapat tahu bahawa itulah punca perintah sambung reman ke atasnya dikeluarkan.

Pada hari-hari berikutnya, anggota-anggota polis telah dikerah supaya mendapatkan kaset-kaset ceramah Sdr. Ezam dan mendegarnya untuk mendapatkan sebarang bukti untuk membolehkan beliau tetap didakwa. Menurut Sdr. Ezam lagi, setelah mendengar ceramah-ceramah beliau, ada di antara anggota polis tersebut yang telah berubah dari segi perwatakan serta layanan mereka terhadap beliau. Beliau juga diberitahu oleh salah seorang daripada mereka bahawa mereka telah gagal mendapatkan sebarang bukti yang boleh digunakan untuk mendakwa beliau kecuali satu insiden yang mungkin boleh dipergunakan untuk mendakwa beliau di bawah Akta Hasutan, iaitu ketika beliau berucap di Pusat Latihan ABIM suatu ketika dahulu, walaupun itu tidak mampu dijadikan asas yang kukuh untuk pendakwaan.

Setibanya hari yang kelapan, beliau telah dibawa ke Mahkamah Majistret dan didakwa di bawah Akta Hasutan dengan berasaskan kepada laporan polis yang dibuat oleh Zulkifli Alwi berhubung kenyataan yang kononnya dibuat oleh Sdr. Ezam dalam akhbar Mingguan Malaysia yang mengatakan bahawa beliau mengajak rakyat berdemonstrasi untuk menggulingkan kerajaan. Bukan itu sahaja, ikat jamin yang dikenakan pada mulanya adalah RM50000. Hakim sendiri kemudiannya menjelaskan yang beliau menetapkan ikat jamin tersebut disebabkan arahan oleh pihak atasan sedangkan beliau sendiri menyedari yang jumlah itu tidak munasabah sama sekali memandangkan denda maksimum yang boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan tersebut hanyalah RM5000. Oleh itu, setelah dirayu, hakim telah menurunkan jumlah ikat jamin kepada RM5000. Demikianlah sedikit sebanyak cerita pengalaman Sdr. Ezam yang sempat diceritakannya ketika ceramah malam tadi.

Pada lebih kurang jam 12:15 pagi kesemua hadirin bersurai.

 

Webmaster Pemuda KeADILan Malaysia

http://pemudakeadilan.tripod.com

 
Tone lagu Suara Rakyat Baru!

 

 

 

 


SEKRETARIAT PEMUDA keADILan MALAYSIA 
101&201, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II 

No 15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, 

46350 Petaling Jaya, Selangor

Tel : 03 7540469  Fax : 03 7540419 Talian Rasmi Sekretariat : 012 3750000

Urusan Sekretariat Pemuda : pemudakeadilan@freeanwar.com

Urusan Webmaster  : webpemuda@freeanwar.com

 

Copyright © 2000 The Reformiz Inc.