KENYATAAN AKHBAR

MAJLIS PIMPINAN PEMUDA BARISAN ALTERNATIF

ALOR SETAR – 8 MAC 2001

 

Pemuda Barisan Alternatif dalam pertemuan hari ini ingin melahirkan kekesalan kami di atas penahanan dan lanjutan perintah reman ke atas Sdr Ezam Mohd Nor, Ketua Pemuda KeADILan sejak malam Raya Aidul Adha.  Pencerobohan secara kasar pasukan polis ke dalam  rumah beliau dan jirannya juga amat tidak sopan serta bertentangan dengan slogan  “Mesra Rakyat” yang dilaung-laungkan. 

Kami juga mengutuk kekerasan yang diambil oleh pihak Polis yang telah memukul dan menangkap lapan orang aktivis reformasi yang berhimpun secara aman di hadapan IPK Kuala Lumpur untuk memberi sokongan moral kepada Sdr Ezam pada 6 Mac lalu.

Sdr Ezam telah menafikan segala laporan yang telah dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia yang menyatakan bahawa beliau merancang untuk mengulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanraya.  Malangnya, Utusan langsung tidak memohon maaf kepada beliau, malah terus mengembar-gemburkan isu ini sehingga mengakibatkan isu ini dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendera Sdr Ezam dengan melokapnya ketika umat Islam menyambut hari mulia ini bersama keluarga dan sanak saudara.

Pemuda Barisan Alternatif berpendapat, penangkapan ini adalah berpunca daripada  kelantangan Sdr Ezam menentang dan membongkarkan penyelewengan kerajaan zalim Barisan Nasional.  Pelancaran Gerakan Menyelamatkan Wang Rakyat yang turut mengedarkan risalah berbentuk bukti-bukti rompakan ke atas wang rakyat oleh kerajaan Dr Mahathir serta Ceramah Perdana yang kami laksanakan jelas terbukti telah menyebabkan mereka gelabah dan panik.

Pihak polis tidak sewajarnya membiarkan diri mereka digunakan oleh pemimpin politik yang sudah terdesak ini untuk menutup segala rasuah dan salahguna kuasa yang mereka lakukan.  Kami sedih dengan sikap pilih kasih yang diamalkan oleh Pasukan Polis Di Raja Malaysia dan mendesak agar ia dihentikan serta merta.

Dalam kes yang melibatkan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional, pihak Polis seolah-olah pekak dan buta tuli serta dipergunakan untuk menjadi pelindung kepada segala salah laku pemimpin BN.  Jika betulpun Sdr Ezam mengeluarkan kenyataan untuk melancarkan demonstrasi, beliau masih belum melakukannya kenapa perlu beliau dilokap.  Kalau sekadar untuk mengambil kenyataan, Sdr Ezam belum pernah melarikan diri daripada berhadapan dengan pihak polis dan sentiasa memberikan kerjasama.

Yang lebih mengecewakan kami, sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh pihak Polis terhadap ratusan laporan polis yang telah dibuat termasuk laporan terhadap Pemuda UMNO yang telah menyerang Dewan Perhimpunan Cina Selangor serta mencabar untuk membakar dewan tersebut.  Begitu juga dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh GPMS dan BBM yang cuba mewujudkan ketegangan antara kaum, kenapa mereka dibelai oleh pihak polis malah diberikan permit polis.  Jika mereka ini dianggap tidak merbahaya, kami yakin Sdr Ezam juga sewajarnya diberikasn layanan yang sama.  Pemuda Barisan Alternatif menuntut agar Sdr Ezam dibebaskan pada kadar segera dan tidak diberikan layanan buruk semata-mata kerana kenyataannya telah diputar-belitkan oleh Utusan Malaysia.

Kami mendesak Ketua Polis Negara untuk menjawab, kenapa sehingga kini semua laporan ini ditenggelamkan sedangkan tindakan serta merta dilaksanakan beberapa jam sebaik sahaja Pemuda UMNO membuat laporan ke atas Sdr Ezam.  Kami juga ingin tahu adakah PDRM berkhidmat untuk rakyat dan menjaga keselamatan negara atau berkhidmat untuk satu dua kerat ahli politik UMNO dan Barisan Nasional.

 

SDR MAHFUZ OMAR                      SDR LOKMAN NOOR ADAM

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat          Setiausaha Pemuda KeADILan

 

YB TENG CHANG KHIM                 SDR FAIZAL SANUSI

Ketua Pemuda Sosialis DAP                  Ketua Angkatan Pemuda PRM