http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


KENYATAAN RASMI SETIAUSAHA PEMUDA KEADILAN BERHUBUNG KEGANASAN POLIS DI PERHIMPUNAN RAKYAT 5 NOVEMBER

Alhamdulillah, walaupun dengan berbagai rintangan, akhirnya perhimpunan 100,000 rakyat telah berjaya kita laksanakan. Walaupun kita tidak dapat melaksanakannya di lokasi sepertimana yang kita rancang, tetapi lokasi perhimpunan pada petang ini jauh lebih bersejarah. Kira-kira jam 2 petang, kami telah berhimpun di perhentian Awan Besar, Lebuhraya KESAS, untuk berkumpul bergerak ke Jalan Kebun. Kira-kira jam 3, saya dan Sdr. Ezam telah sampai ke tempat tersebut diikuti dengan Hj. Mahfuz dan Ustaz Fadzil Noor 15 minit kemudian. Kira-kira jam 3.30 petang, kami telah bertolak peringkat demi peringkat menuju ke Jalan Kebun. Tiga 'lane' telah kami penuhkan dengan kenderaan penyokong reformasi, manakala 'lane' keempat untuk pemandu awam. Kira-kira jam 4.30 petang, kami telah sampai kira-kira 25 kilometer daripada tol Bukit Harimau di mana kami telah turun berarak didahului dengan keempat-empat presiden Barisan Alternatif. Yang lebih mengagumkan kami adalah apabila melihat Datin Seri Wan Azizah turun dengan menggunakan kerusi roda setelah kaki kanan beliau patah. Lebuhraya KESAS pada hari ini telah mencipta satu sejarah apabila penyokong reformasi membanjiri lebuhraya tersebut. 

Ini telah menyebabkan lebuhraya tersebut sesak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan awam hingga sekitar jam 8 malam. Ustaz Fadzil, Datin Seri Wan Azizah, YBhg. Sdr. Lim Kit Siang dan Dr. Syed Husin Ali telah berjalan tidak kurang daripada 5 kilometer sehingga kita berada di barisan hadapan iaitu sekitar 700 meter daripada beberapa biji trak FRU. Ketika kami sampai di barisan hadapan, keempat-empat presiden telah memulakan majlis ucapan sebaik sahaja ucapan pengerusi jawatankuasa program, Sdr. Saari Sungib. 

Disebabkan permintaan yang begitu hangat daripada para penyokong, Sdr. Ezam dan Hj. Mahfuz turut menyampaikan ucapan mereka. Malangnya, sebaik sahaja selesai majlis tersebut dan kami melantik 4 orang delegasi untuk berunding dengan pihak polis bagi menyuraikan perhimpunan tersebut, pihak FRU telah bertindak ganas dengan menembak air asid terhadap perhimpunan tersebut. Yang lebih menyedihkan lagi, pancutan 'water canon' tersebut telah menjadikan Ustaz Fadzil Noor dan Datin Seri Wan Azizah sebagai sasaran utama mereka. Ustaz Fadzil kelihatan merah pada mukanya akibat terkena air asid tersebut berserta dengan gas pemedih mata. Salah satu tembakan gas pemedih mata telah ditujukan kepada Datin Seri Wan Azizah tetapi telah mengenai seorang pemuda yang cuba melindungi beliau. Akibat hentakan tembakan tersebut yang mengenai kepala Sdr. Khairi, beliau terpaksa dimasukkan ke wad ICU. Pihak FRU bertindak dengan lebih ganas lagi walaupun dalam keadaan kami berhimpun secara aman. Ramai yang telah dipukul dengan teruknya dan jumlah tangkapan yang dibuat pada hari ini seramai 112 orang. 

Saya tidak faham kenapa Mahathir begitu 'desperate' sedangkan program perhimpunan 100,000 rakyat ini hanya merupakan siri ceramah umum biasa. Cuma bezanya, ianya dilakukan di waktu siang. Jumlah keseluruhan yang ditangkap pada hari ini dan semalam adalah seramai 112 orang dan mereka ditahan di Balai Polis Pandamaran. Daripada laporan yang  kami terima, mereka yang ditangkap telah diperlakukan seperti binatang oleh 'anjing-anjing' suruhan Mahathir Mohammad. Terdapat 6 orang yang cedera parah, seorang patah rusuknya dan seorang lagi cedera teruk di kepala langsung tidak diberikan rawatan perubatan. Yang lebih menyayat hati lagi, barua-barua  Mahathir Mohammad ini telah mengunci 41 orang di dalam sebuah 'Black Maria' dan mereka telah ditembak dengan gas pemedih mata. Ini adalah satu tindakan yang cukup biadap dan jelas menunjukkan bahawa FRU bukan sekadar menjadi anjing suruhan Mahathir, tetapi sememangnya sudah dilatih dengan sikap penuh keperibinatangan. Sehingga jam 11.30 malam tadi, mereka yang ditahan masih tidak diberikan makanan. Makanan yang cuba dibawa masuk oleh peguam-peguam kami serta ahli keluarga mereka yang ditahan telah tidak dibenarkan masuk, malah sekali lagi digunakan untuk menyuraikan ahli keluarga.

Setakat ini, antara pimpinan yang ditahan adalah Sdr. Saari Bahari (ahli MPT keADILan), Sdr. Sanusi Abdullah (exco Pemuda keADILan) dan YB. Aziz Abbas (Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu dari PAS). Sebanyak 60 biji kereta telah dipecah oleh pihak FRU, manakala 12 biji motorsikal telah mereka humban ke dalam longkang. Sehingga sekarang, pihak polis masih menggunakan Sekolah Menengah Jalan Kebun sebagai kem tahanan sementara. Kita memandang serius terhadap kezaliman dan keganasan pihak polis ini. Nampaknya musuh kita bukan sekadar Mahathir Mohammad, dan adalah tidak benar bahawa FRU dan Special Branch melakukan kekejaman ini semata-mata kerana menjalankan tugas dan menjaga periuk nasi mereka. Kini nampaknya mereka merasai nikmat memukul, mendera dan memusnahkan harta benda orang ramai. Jika kezaliman ini diteruskan, jangan salahkan kami kalau rakyat mula menjadikan FRU dan Special Branch sebagai musuh nombor dua mereka.

 

Lokman Adam

Setiausaha Pemuda KeADILan