http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


Dikemaskinikan  pada 06 Feb 2001 17:22  

 

 

 

Pilihanraya Kecil

N.34 LUNAS

29 NOV 2000

 

 

 

Baca Laporan Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

 

Sila kirimkan pandangan serta komen anda kepada kami

 

 

 

 

 

Kenyataan Media Pemuda Barisan Alternatif

Pemuda Barisan Alternatif (BA) membantah sekeras-kerasnya langkah Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi mengarahkan pihak penjara supaya membawa kembali Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada Hospital Kuala Lumpur ke penjara Sungai Buloh.  Kami lihat langkah ini sebagai perlanggaran terhadap hak asasi manusia dan sungguh tidak berperikemanusiaan. 

Kami berpendirian bahawa Dato' Seri Abdullah Badawi telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk bertindak semata-mata untuk memuaskan dendam dan kebencian terhadap Dato' Seri Anwar.  Kami memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri supaya membatalkan arahan tersebut. Kami akan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia untuk tindakan suruhanjaya tersebut.

Dato' Seri Abdullah telah bertindak sewenang-wenang dengan menghantar Setiausaha Politik beliau, Othman Desa ke penjara Sungai Buloh untuk mempastikan bahawa pihak penjara mematuhi arahan beliau supaya Dato' Seri Anwar Ibrahim diletakkan di dalam bilik yang kecil yang selalunya digunakan untuk banduan yang mengalami sakit jiwa dan mempunyai kecenderungan melakukan keganasan.  Langkah ini mencerminkan betapa Menteri Dalam Negeri telah menjalankan agenda politik beliau dan menekan pihak penjara daripada menggunakan budi bicara Jabatan tersebut di dalam pentadbiran penjara.  Kami juga dimaklumkan bahawa Dato' Seri Abdullah juga telah mengarahkan pihak polis dan penjara untuk menggeledah bilik Dato' Seri Anwar di hopsital Kuala Lumpur semasa Dato' Seri Anwar  tidak berada di dalam bilik tersebut.  Ini merupakan satu tindakan yang tidak menghormati hak-hak dan juga privacy seorang individu yang dijamin oleh undang-undang serta perlembagaan.

Kami ingin juga memberi amaran kepada Dato' Seri Abdullah supaya menghentikan tekanan terhadap pihak pengurusan hospital Kuala Lumpur daripada menjalankan tanggungjawab profesionalnya terhadap pesakit.  Arahan memindahkan Dato' Seri Anwar ke penjara Sungai Buloh merupakan campurtangan politik di dalam pentadbiran hospital tersebut kerana panel doktor yang memeriksa Dato' Seri Anwar telah sepakat bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu memerlukan pembedahan.  Adalah tidak munasabah bahawa Dato' Seri Anwar dipindahkan ke penjara sebelum pembedahan  dilakukan kerana beliau sudah pasti memerlukan pengawasan yang rapi menjelang pembedahan.  Kami juga kesal bahawa pihak kerajaan masih lagi belum membuat keputusan samada membenarkan pakar Jerman memeriksa Dato' Seri Anwar dan menentukan kaedah pembedahan yang paling sesuai dan mempunyai risiko yang paling minimum.  Kami ingin menegaskan bahawa hak seorang pesakit untuk mendapatkan khidmat profesional tidak boleh digugat walau apa pun status pesakit tersebut adalah juga hak seseorang pesakit untuk memilih pakar dan tempat beliau menjalankan pembedahan atau rawatan.

Kami juga ingin menegaskan bahawa Dato 'Seri Anwar adalah seorang tahanan politik.  Ini satu hakikat yang sudah diterima oleh masyarakat setempat dan juga masyarakat antarabangsa.  Pemerintahan Malaysia tidak boleh bersembunyi di sebalik keputusan mahkamah yang telah dirancang oleh konspirasi Dr. Mahathir.  Justeru itu menggunakan alasan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang banduan tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat Malaysia mahu pun masyarakat antarabangsa.  Kami menasihatkan supaya Menteri Dalam Negeri bangun dari khayalan yang direka sendiri dan  sedar akan hakikat bahawa sandiwara yang mereka buat sudah tidak diterima lagi.

Kami sekali lagi mengingatkan Dato' Seri Abdullah Badawi bahawa rakyat kini telah sedar tentang hak-hak individu dan juga hak-hak asasi seorang rakyat di manapun beliau berada.  Justeru itu Dato' Seri Abdullah tidak boleh bertindak sebarangan sebagai Menteri Dalam Negeri kerana ini akan menimbulkan kemarahan rakyat dan rakyat akan bangun untuk bertindak menentang pelanggaran hak asasi manusia.

 

 

YB Haji Mahfuz Hj Omar                          Mohamad Ezam Mohd Nor

Ketua                                                             Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Pusat                            Parti Keadilan Nasional

 

 

 

YB Teng Chang Kim                                    Faizal Sanusi

Ketua                                                              Ketua

Pemuda Sosialis DAP                                    Angkatan Pemuda PRM

6 Februari 2001

 

 
Cadangkan laman ini kepada rakan

 

 

 

 


SEKRETARIAT PEMUDA keADILan MALAYSIA 
101&201, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II 

No 15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, 

46350 Petaling Jaya, Selangor

Tel : 03 7540469  Fax : 03 7540419 Talian Rasmi Sekretariat : 012 3750000

Urusan Sekretariat Pemuda : pemudakeadilan@freeanwar.com

Urusan webmaster  : webpemuda@freeanwar.com

 

Copyright © 2000 The Reformiz Inc.