http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com
|
KENYATAAN RASMI
Setelah keputusan 'bersalah' Anwar Ibrahim dijatuhkan pada 8 Ogos 2000 yang lalu; pelbagai pihak telah membuahkan reaksi yang berbeza-beza, malah ramai yang bertindak mengecam hasil keputusan perbicaraan tersebut.
Kecaman antarabangsa dimulakan oleh fatwa Syeikh Taha Jabir yang mengutuk tindakan Mahathir Mohamad dan kaedah perbicaraan yang nyata jelas bertentangan dengan kehendak syariah Islam. Di Indonesia pula, lebih 30 buah pertubuhan Islam dengan keahlian melebihi 80 juta telah menghantar sepucuk surat terbuka kepada Mahathir untuk melahirkan rasa simpati kepada Anwar dan pada masa yang sama mendesak agar Mahathir membebaskan Anwar.
Sewaktu kunjungan Mahathir ke London baru-baru ini, Kesatuan Eropah melalui Perdana Menteri Britain Tony Blair telah mendesak agar Mahathir pulang dan menyelesaikan segera kes Anwar. Ini telah diikuti oleh penarikan balik jemputan ISNA terhadap Mahathir. ISNA adalah pertubuhan Islam yang terbesar dan paling berpengaruh di Amerika Utara dengan 4000 pertubuhan Islam bernaung dibawahnya.
Konco Mahathir pula telah memberikan berbagai tawaran sehingga sanggup membenarkan Anwar dibawa ke Amerika agar ISNA menjemputnya kembali. Telah jelas bahawa Mahathir kini dipinggirkan oleh masyarakat Islam antarabangsa, khususnya dan seluruh dunia, amnya. Ini telah ditambah dengan kejutan oleh ulama besar Islam, Yusuf al-Qardawi yang mengumumkan akan mengeluarkan fatwa mengecam tindakan Mahathir jika Anwar tidak dibebaskan segera.
Setelah bertalu-talu peringatan masyarakat antarabangsa terhadap Mahathir, maka sewajarnya kita sebagai rakyat Malaysia memberikan peringatan terakhir buat Mahathir dengan sama-sama kita jayakan 'Perhimpunan 100,000' - "Gerakan Mengembalikan Hak-Hak Rakyat".
Hak untuk rakyat berkumpul dan menyuarakan pendapat sudah termaktub dalam fasal 10(1B) perlembagaan Malaysia. Perhimpunan ini akan diadakan di Markas KeADILan Jalan Kebun, Shah Alam; maka tidak ada sebab untuk pihak polis mengganggu perhimpunan yang sewajarnya tidak memerlukan permit ini.
Saya dengan ini menyeru kepada seluruh rakyat sama ada tua ataupun muda, tidak kira dari apa jua latar belakang dan keturunan untuk turun beramai-ramai pada hari Ahad, 5 November 2000, jam 3 petang di Jalan Kebun, Shah Alam. Rakan-rakan dari parti pembangkang, NGO, Reformis dan golongan Karyawan akan turut sama berganding bahu bersama-sama dengan kempat-empat Presiden dari Barisan Alternatif untuk mendesak supaya hak-hak rakyat dikembalikan.
Selaku Ketua Pemuda keADILan Malaysia, saya menyeru kepada seluruh generasi muda khususnya untuk menjadi benteng hadapan bagi menjayakan agenda ini.
MOHAMAD EZAM MOHD NOR Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional 30 Oktober 2000 |