http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


Dikemaskinikan  pada 29 Jan 2001 10:17  

 

 

 

Pilihanraya Kecil

N.34 LUNAS

29 NOV 2000

 

 

 

Baca Laporan Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

 

Sila kirimkan pandangan serta komen anda kepada kami

 

 

 

 

 

Mengecam Cubaan Mewujudkan Krisis Antara Kaum

KENYATAAN AKHBAR

Selepas kegagalan “Filem SAUK 1” yang mengambil tempat di Bukit Jenalik dan “Filem SAUK 2” yang menggunakan tentera untuk membuat lakunan semula diikuti dengan cubaan menggunakan Pemuda UMNO untuk merempuh Dewan Perhimpunan Cina, nampaknya Mahathir masih belum berpuashati dengan tahap kepercayaan orang Melayu bahawa beliau adalah jaguh yang mempertahankan bangsa Melayu.

Kini nampaknya Abdullah Badawi melalui kuncu-kuncunya dalam GPMS pula turut menyingsing lengan membelasah Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Masyarakat Cina atau Suqiu yang menjadi mangsa agenda politik kotor Mahathir untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu kepada UMNO. Setelah meraih kemenangan dalam pilihanraya umum yang lalu hasil sokongan kaum Cina dengan menerima 17 tuntutan yang diutarakan oleh Suqiu yang mewakili 2000 pertubuhan Cina dalam negara ini, Mahathir kini tergamak menuduh pertubuhan ini sebagai ekstremis, malah sanggup menyamakan Suqiu dengan Komunis dan kumpulan Al’ Maunah.

Saya secara peribadi memandang serius pekara ini dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Pimpinan Barisan Nasional yang mempergunakan seluruh pertubuhan pengampu mereka terutamanya “Gabungan Pengampu Mahathir Sedunia” (GPMS) untuk memulakan usaha bagi mencetus ketegangan antara kaum Melayu dan Cina bagi memenuhi nafsu serakah Mahathir. Selaku Perdana Menteri, kenyataan, ucapan, arahan dan tingkah laku beliau sewajarnya mengambarkan keinginan dan harapannya untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, berbilang budaya dan berbilang agama mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.

Amat memalukan bagi seorang Perdana Menteri yang sanggup melebelkan rayuan yang dikemukakan oleh sebilangan besar masyarakat Cina negara ini yang ingin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari rasuah, mempunyai institusi asas negara seperti badan kehakiman, kepolisian, SPR dan jabatan Peguam Negara yang adil dan bebas dari cengkaman politikus serta menegakkan prinsip asas hak asasi manusia adalah pengkhianat dan agen subersif. Ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak kita merdeka lagi.

Di dalam sebuah negara yang mengamalkan amalan demokrasi, ianya menjadi hak mana-mana individu, komuniti, pertubuhan atau parti untuk menyuarakan pandangan secara bebas tanpa diancam dengan pelbagai ugutan walaupun pandangan mereka ini bertentangan dengan pandangan kerajaan yang memerintah. Ini jelas termaktub dalam fasal 10 .1 (a). Malah Jawatankuasa ini berhak untuk menghantar memorandum untuk mengkritik dasar kerajaan atau menuntut agar polisi negara diubah jika mereka mahu, namun kita dapat lihat cara Suqiu mengemukakan nota rayuan tidaklah keras apatah lagi perkataan “Suqiu” itu sendiri cukup lembut dan membawa maksud “rayuan”

Nota rayuan Suqiu sebenarnya tidak ditujukan kepada kerajaan tetapi ianya telah ditujukan kepada Barisan Nasional (BN) dan Barisan Alternatif (BA). Jika rakyat berhak untuk menyuarakan pandangan mereka, BN dan BA juga mempunyai hak mereka samaada untuk menerima keseluruhannya, menolak keseluruhannya, menerima sebahagiannya, menolak sebahagiannya atau langsung tidak melayani pandangan dan permintaan Suqiu sepertimana yang sering Mahathir lakukan apabila kita menghantar memorandum mendesak agar Anwar dibebaskan.

Tindakan Mahathir mengarahkan Pemuda UMNO sebelum ini dan GPMS kini untuk menganjurkan perhimpunan untuk mengecam rayuan yang dikemukakan Suqiu jelas terbukti mempunyai niat jahat dan mengambarkan tindakan terdesak seorang diktator yang sedar dirinya dibenci oleh kaum Melayu dan gagal mendapatkan sokongan orang Melayu berbanding masyarakat Cina yang diyakini beliau mampu beliau menangi semula disaat akhir sebelum pilihanraya mendatang. Tindakan Mahathir yang tidak bermoral dengan menerima rayuan Suqiu sebelum pilihanraya dan menyerangnya semula selepas pilihanraya sudah pasti akan dijadikan pengajaran oleh masyarakat Cina agar tidak ditipu lagi dimasa akan datang.

Kepada Mahathir Mohamad kita bagi peringatan agar jangan terus bermimpi yang orang Melayu akan kembali menyokong beliau dengan apa yang beliau pentaskan.

Sebahagian besar masyarakat Melayu melihat teriakan “Kembalikan Ketuanan Melayu” oleh Aziz Sheikh Fadzil, Suhaimi Ibrahim dan budak suruhan Dollah Badawi sebagai satu persembahan “Bandut-Bandut Sarkas” yang amat melucukan. Hentikanlah segera sandiwara ini kerana ianya cukup meluatkan. Semua rakyat sudah cukup faham bahawa sudah tidak ada lagi Ketuanan Melayu di Malaysia ini. Yang ada cuma Ketuanan Mahathir itupun InsyaAllah bakal kita kuburkan sebelum November tahun depan.

Saya menyuru kepada seluruh rakyat Malaysia agar berhenti dari membicarakan soal hak istimewa orang Melayu agar tidak terjebak dengan perangkap Mahathir. Sepanjang 19 tahun pemerintahan Mahathir, beliau bukan sekadar tidak memperjuangkan hak istimewa orang Melayu malah beliau telah banyak mengkhianati bangsa Melayu. Sedarlah kamu wahai Mahathir, Tunku Abdul Rahman yang kamu kritik hebat dulu cukup disayangi oleh Bangsa Melayu, kita kagumi kegigihannya memerdekakan negara. Tun Razak, tiada siapa boleh nafikan jasanya untuk Bangsa Melayu dengan kewujudan Felda dan Felcra. Tun Hussein yang kamu hina “lembik dan tak tahu buat kerja”, turut menyumbang untuk bangsa Melayu melalui Amanah Saham Nasional.

Tapi apa yang telah kamu lakukan untuk Bangsa Melayu? Mercutanda dan Penswastaan! Adakah ini menguntungkan orang Melayu? Tidak sama sekali. Ianya hanya untuk memenuhi nafsu serakah poket beberapa puluh kroni, anak-anak dan suku sakat kamu dan Daim sahaja.

Walaupun Tajudin Ramli orang Melayu, tapi kedudukan beliau sebagai Pengerusi MAS umpamanya bukan mewakili kepentingan orang Melayu, jawatan itu dipegangnya selaku kroni kamu dan Daim. Apa faedah yang orang Melayu dapat? Faedahnya cuma satu, bila Tajudin mengakibatkan MAS rugi besar, kamu memerintahkan wang Pembendaharaan Negara, hasil titik peluh rakyat yang dikutip melalui cukai dan sebagainya digunakan untuk menyelamatkan Tajudin dengan pembelian saham MAS pada kadar harga RM 8 seunit walaupun harga semasa sekitar RM 3.60 sahaja.

Dalam pemerintahan Mahathir jugalah kita dapat lihat bagaimana Bangsa Melayu merana bila biasiswa pendidikan dilupuskan ketika kerajaan rancak membina mercu tanda termasuk mahligainya yang berharga RM 200 juta. Dikala orang Melayu menanggung penderitaan akibat kejatuhan harga kelapa sawit, kelapa dan padi umpamanya, ketika itulah Mahathir terus meluluskan peruntukan pembinaan projek mega yang semakin kurang penggunanya seperti KLIA. Kenaikan harga barangan seperti petrol, tol, barangan runcit dan bermacam-macam barang keperluan pengguna lain kini adalah permulaan kepada kesengsaraan yang terpaksa rakyat tanggung akibat pentadbiran yang bergelumang dengan rasuah, pengagihan hasil negara yang tidak seimbang serta penyalah gunaan wang negara untuk menebus syarikat kroni tanpa mengendahkan nasib rakyat terbanyak.

Bertimbun bukti lain yang diketahui umum boleh dikemukakan untuk menunjukkan bahawa drama mempertahankan hak istimewa Melayu yang dipaparkan oleh pengampu Mahathir sudah basi dan tidak mungkin akan dapat memperdayakan Bangsa Melayu lagi. Sebagai rakyat yang mendokong aspirasi Gerakan Reformasi untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sebuah pentadbiran yang cekap, jujur, telus, tidak menyeleweng dan menitik beratkan kepentingan rakyat terbanyak, apa yang diperjuangkan oleh Suqiu jika kita lihat secara menyeluruh, kebanyakannya sama seperti apa yang diperjuangkan oleh kita seperti penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penghapusan Akta Universiti dan Kolej (AUKU) dan banyak lagi isu-isu lain yang kalau kita lihat secara positif adalah akar kepada kewujudan sebuah negara yang demokratik. Kewujudan satu dua pandangan yang mungkin bertentangan dengan pandangan kita sewajarnya diselesaikan melalui perbincangan dan dailog sehingga pemahaman kedua-dua pihak mampu mengecapi keputusan yang terbaik.

Setelah diteliti rayuan Suqiu, semalam aktivis reformasi telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mendokong rayuan Suqiu secara menyeluruh (maknanya setelah diteliti pada dasarnya secara menyeluruh) kerana majoriti isikandung rayuan itu datangnya dari niat ikhlas masyarakat Cina untuk melihat Malaysia yang lebih baik. Saya sekali lagi ingin melahirkan kekesalan saya di atas kenyatan 8 laman web yang menyatakan “Suqiu harus ditolak” dan kenyataan ini bagi saya adalah keterlaluan.

Sebagai seorang pelayar web yang sudah lebih dua tahun bersama-sama dengan sesetengah laman tersebut, saya yakin tidak ada satupun ayat dari kenyataan yang dipaparkan pada muka depan laman-laman tersebut semalam datangnya dari kalam dan pemikiran pengurus-pengurus laman itu sendiri. Tidak ada sebab untuk mereka berbuat demikian tanpa terpengaruh dengan seseorang memandangkan Mahathir sendiripun hanya menolak tuntutan dan tidak pernah menyeru agar Jawatankuasa tersebut ditolak. Saya pohon agar laman-laman tersebut membebaskan diri mereka dari dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang jelas mempunyai fikrah yang bertentangan dengan Gerakan Reformasi.

LOKMAN NOOR HAJI ADAM
Setiausaha Pemuda KeADILan Malaysia
22 Disember 2000

 
Cadangkan laman ini kepada rakan

 

 

 

 


SEKRETARIAT PEMUDA keADILan MALAYSIA 
101&201, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II 

No 15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, 

46350 Petaling Jaya, Selangor

Tel : 03 7540469  Fax : 03 7540419 Talian Rasmi Sekretariat : 012 3750000

Urusan Sekretariat Pemuda : pemudakeadilan@freeanwar.com

Urusan webmaster  : webpemuda@freeanwar.com

 

Copyright © 2000 The Reformiz Inc.