KENYATAAN
AKHBAR
MAJLIS
PIMPINAN PEMUDA BARISAN ALTERNATIF
ALOR
SETAR – 8 MAC 2001
Pemuda
Barisan Alternatif dalam pertemuan hari ini ingin melahirkan kekesalan
kami di atas penahanan dan lanjutan perintah reman ke atas Sdr Ezam Mohd
Nor, Ketua Pemuda KeADILan sejak malam Raya Aidul Adha.
Pencerobohan secara kasar pasukan polis ke dalam
rumah beliau dan jirannya juga amat tidak sopan serta
bertentangan dengan slogan
“Mesra Rakyat” yang dilaung-laungkan.
Kami
juga mengutuk kekerasan yang diambil oleh pihak Polis yang telah memukul
dan menangkap lapan orang aktivis reformasi yang berhimpun secara aman
di hadapan IPK Kuala Lumpur untuk memberi sokongan moral kepada Sdr Ezam
pada 6 Mac lalu.
Sdr
Ezam telah menafikan segala laporan yang telah dibuat oleh akhbar Utusan
Malaysia yang menyatakan bahawa beliau merancang untuk mengulingkan
kerajaan melalui demonstrasi jalanraya.
Malangnya, Utusan langsung tidak memohon maaf kepada beliau,
malah terus mengembar-gemburkan isu ini sehingga mengakibatkan isu ini
dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendera Sdr
Ezam dengan melokapnya ketika umat Islam menyambut hari mulia ini
bersama keluarga dan sanak saudara.
Pemuda
Barisan Alternatif berpendapat, penangkapan ini adalah berpunca daripada
kelantangan Sdr Ezam menentang dan membongkarkan penyelewengan
kerajaan zalim Barisan Nasional.
Pelancaran Gerakan Menyelamatkan Wang Rakyat yang turut
mengedarkan risalah berbentuk bukti-bukti rompakan ke atas wang rakyat
oleh kerajaan Dr Mahathir serta Ceramah Perdana yang kami laksanakan
jelas terbukti telah menyebabkan mereka gelabah dan panik.
Pihak
polis tidak sewajarnya membiarkan diri mereka digunakan oleh pemimpin
politik yang sudah terdesak ini untuk menutup segala rasuah dan
salahguna kuasa yang mereka lakukan.
Kami sedih dengan sikap pilih kasih yang diamalkan oleh Pasukan
Polis Di Raja Malaysia dan mendesak agar ia dihentikan serta merta.
Dalam
kes yang melibatkan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional, pihak Polis
seolah-olah pekak dan buta tuli serta dipergunakan untuk menjadi
pelindung kepada segala salah laku pemimpin BN.
Jika betulpun Sdr Ezam mengeluarkan kenyataan untuk melancarkan
demonstrasi, beliau masih belum melakukannya kenapa perlu beliau dilokap.
Kalau sekadar untuk mengambil kenyataan, Sdr Ezam belum pernah
melarikan diri daripada berhadapan dengan pihak polis dan sentiasa
memberikan kerjasama.
Yang
lebih mengecewakan kami, sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh
pihak Polis terhadap ratusan laporan polis yang telah dibuat termasuk
laporan terhadap Pemuda UMNO yang telah menyerang Dewan Perhimpunan Cina
Selangor serta mencabar untuk membakar dewan tersebut.
Begitu juga dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh GPMS dan BBM
yang cuba mewujudkan ketegangan antara kaum, kenapa mereka dibelai oleh
pihak polis malah diberikan permit polis.
Jika mereka ini dianggap tidak merbahaya, kami yakin Sdr Ezam
juga sewajarnya diberikasn layanan yang sama.
Pemuda Barisan Alternatif menuntut agar Sdr Ezam dibebaskan pada
kadar segera dan tidak diberikan layanan buruk semata-mata kerana
kenyataannya telah diputar-belitkan oleh Utusan Malaysia.
Kami
mendesak Ketua Polis Negara untuk menjawab, kenapa sehingga kini semua
laporan ini ditenggelamkan sedangkan tindakan serta merta dilaksanakan
beberapa jam sebaik sahaja Pemuda UMNO membuat laporan ke atas Sdr Ezam.
Kami juga ingin tahu adakah PDRM berkhidmat untuk rakyat dan
menjaga keselamatan negara atau berkhidmat untuk satu dua kerat ahli
politik UMNO dan Barisan Nasional.
SDR
MAHFUZ OMAR
SDR LOKMAN NOOR ADAM
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat
Setiausaha Pemuda KeADILan
YB
TENG CHANG KHIM
SDR FAIZAL SANUSI
Ketua
Pemuda Sosialis DAP
Ketua Angkatan Pemuda PRM
|