http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com
|
BARISAN ALTERNATIF SEKRETARIAT BERSAMA
Kepada, Ybhg
Tan Sri Dato’ Musa Bin Hitam, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Wisma Putra, 50602 KUALA LUMPUR. 9 NOVEMBER 2000 Tan Sri, MEMORANDUM PENGADUAN DAN TUNTUTAN SIASATAN TERHADAP PENYALAHGUNAAN KUASA DAN KEGANASAN POLIS DALAM PERHIMPUNAN AMAN 100,000 RAKYAT PADA 5 NOVEMBER 2000 DI JALAN KEBUN, KELANG. Pemuda Barisan Alternatif (Pemuda BA) memandang serius penyalahgunaan kuasa dan keganasan yang dilakukan oleh pasukan polis ke atas lebih 100,000 orang peserta perhimpunan aman yang diadakan di Jalan Kebun, Kelang pada 5 November 2000 yang lalu. Pemuda BA berpandangan keganasan ini adalah sangat melampau dan secara terang-terangan mencabul hak asasi rakyat negara ini. Terdahulu Pemuda BA ingin melahirkan rasa yang sangat kesal dengan tindkan BN yang terus menyalahgunakan pasukan polis untuk menyekat pengaruh BA dan mempertahan kuasa politik mereka semenjak peristiwa 2 September 1998. Pasukan polis adalah sebuah pasukan keselamatan yang dibayar gaji dan elaun perkhidmatan oleh kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara bukannya dibayar untuk mempertahankan survival BN sehingga rakyat melihat polis sebagai ‘pasukan ketidakselamatan’. Pemuda BA sangat bimbang jika anasir menyalahgunakan kuasa polis dan membiarkan polis terus melakukan keganasan akan menyebabkan rakyat merasa benci dan hilang percaya terhadap pasukan polis. Lebih malang sekiranya provokasi seperti ini akan mendorong rakyat untuk bertindak balas dan melakukan keganasan yang sama dalam perhimpunan aman pada masa akan datang. Dalam perhimpunan aman tersebut, lebih 100,000 orang telah disembur gas pemedih mata selain terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas. Manakala 122 orang telah ditahan, lebih 30 orang cedera parah, seorang dimasukkan ke ICU, seorang hampir buta dan 70 buah kenderaan rosak. Selain itu hampir semua tahanan telah turut didera termasuk dibogelkan dalam tahanan. Tahanan juga dilarang daripada menemui peguam dan keluarga bahkan disembunyikan oleh polis tempat penahanannya. Pemuda BA mendesak Suhakam supaya segera mengadakan siasatan ke atas keganasan dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh polis ini. Bersama ini kami melampirkan beberapa bahan seperti pita video dan gambar-gambar untuk menjadi bahan bukti kes ini. Pemuda BA juga bersedia untuk dipanggil memberikan keterangan dalam membantu siasatan Suhakam ini. Sekian, terima kasih. Yang Menjalankan Amanah, t.t t.t YB HAJI MAHFUZ HAJI OMAR SDR MOHD EZAM MOHD NOOR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan t.t t.t YB TENG CHANG KHIM SDR FAIZAL SANUSIKetua Pemuda Sosialis DAP Ketua Angkatan Pemuda PRM
|