http://pemudakeadilan.tripod.com atau http://www.pemudakeadilan.com

 

PEMUDA KeADILan MALAYSIA

"Reformasi Menegak keADILan"


LAPORAN KECEDERAAN SAEDEN BIN WATEH

 

Pada jam lebih kurang 04:00 - 05:00 petang, pada 05 November 2000 di Plaza Tol Kesas Kemuning, Kelang, berhadapan tol di bawah jejambat. Saya bersama-sama pemimpin-pemimpin utama Barisan Alternatif; YB Dato' Fadhil Md Noor, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah, Dr Syed Husin dan en. Lim Kit Siang serta beberapa orang lagi. Saya mengiringi dan mengawal mereka.

 

Apabila polis menyembur air kimia, saya di barisan hadapan mengarahkan kawan-kawan menyelamat Datin Seri, Dato' Fadhil dan lain-lain. Saya tidak beredar dari situ untuk menjadi benteng kepada pemimpin-pemimpin berkenaan sehingga mereka selesai beredar. Selepas itu polis sekali lagi menyembur air dan buih pemedih mata terkena saya. Saya beredar ke tepi jalan. Tidak berapa lama kemudian saya bersama Pak Din NGO melihat anggota polis memukul seorang lelaki tua dalam lingkungan umur 60-an. Saya pergi menghampiri dan menegur polis supaya jangan memukul orang tua, anggaplah macam orang tua kita. Tiba-tiba polis berkenaan menangkap saya dengan memegang baju dan datang 2 atau 3 orang lagi terus memukul saya. Mereka mengheret saya dan beberapa orang polis lagi datng memukul dengan belantan dan rotan sambil menyepak, menendang dari belakang-hadapan, memukul kepala, menendang kemaluan, serta menumbuk muka.  Semasa mereka mengheret saya ke kenderaan polis, seorang daripada anggota polis berkenaan menyembur kimia jenis spray di mata saya dari jarak yang dekat. Mata saya pedih. Ada juga anggota polis buka zip seluar saya dan memegang kemaluan saya serta menariknya dalam jarak beberapa meter. Apabila sampai di hadapan polis wanita baru mereka menyuruh tutup zip seluar saya.

 

Saya dihumban ke dalam lori. Terdapat lebih kurang 40 orang di dalam lori yang kemudiannya dibawa ke satu tempat iaitu Sekolah Rendah Jalan Kebun. Mata saya tidak nampak lagi. Saya duduk dekat dengan pintu lori tersebut. Semasa dalam lori, sekali lagi saya disembur asid tersebut dari jarak dekat - bertambah pedih mata saya.

 

Selepas itu kami dibawa ke Balai Polis Port Kelang. Saya dibawa turun dan ditempatkan dalam lokap polis. Ketika dalam tahanan saya telah beberapa kali meminta diberikan rawatan, tetapi tidak dilayan walaupun keadaan saya dalam kesakitan yang amat sangat. Hanya pada jam 05:00 pagi, 06 November 2000, baru saya dibawa ke Hospital Kelang bersama beberapa orang tahanan yang lain. Di hospital saya bertemu dengan doktor yang bertugas dan dinasihat oleh doktor berkenaan supaya berjumpa Doktor Mata pada jam 09:00 pagi. Saya dibawa semula ke Balai Polis Port Kelang dengan tidak menerima apa-apa rawatan. Mata saya telah tidak dapat melihat ketika itu.

 

Pada jam 01:00 tengahari baru polis membawa saya semula ke hospital untuk berjumpa pakar mata. Saya diberi rawatan. Doktor pakar berkenaan meminta contoh bahan kimia daripada polis tetapi pihak polis enggan memberinya. Saya terus dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang selama 9 hari.

 

Saya telah tidak dapat melihat selama 4 hari. Semasa di wad hospital saya telah digari di katil walaupun mata saya tidak dapat melihat.

 

Sekian laporan saya.

 

 

SAEDEN BIN WATEH

4454218